Pertandingan UMK Minecraft Edu Challenge 2026 merupakan program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Jaringan Industri & Khidmat Masyarakat di peringkat Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK. Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah mempamerkan idea kreativiti masing-masing dalam menyelesaikan sesuatu isu semasa menggunakan perisian komputer Minecraft: Dream Village Edition. Program ini juga bertujuan untuk mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di fakulti secara terus kepada kumpulan sasaran iaitu pelajar-pelajar sekolah dan pelajar universiti awam yang lain. Pertandingan ini akan diadakan dua peringkat iaitu peringkat saringan secara atas talian dan peringkat akhir secara fizikal di UMK. Kategori yang dipertandingkan melibatkan kategori pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Tiga (3) penyertaan terbaik bagi setiap kategori akan dipilih untuk ke peringkat akhir.

Minecraft: Dream Village Edition merupakan perisian komputer yang dihasilkan oleh Microsoft Corporation untuk ahli akademia sebagai platform institusi pendidikan menjalankan kaedah menyampaikan kurikulum secara digital yang fleksibel dan unik. Perisian ini berasaskan dunia 3D yang dibentuk melalui kubus bertekstur, dan pengguna dapat meneroka dan mengumpulkan idea untuk mengikuti misi atau arahan bagi sesuatu tugasan yang dikonfigurasi lebih awal mengikut modul dan disiplin ilmu tertentu.
Terdapat 2 mod permainan iaitu secara individu dan berkumpulan. Microsoft telah mengembangkan Minecraft: Dream Village Edition yang kini digunakan di sekolah dan mempunyai alat dan fungsi pedagogi tambahan. Minecraft: Dream Village Edition amat popular sebagai platform pembelajaran berasaskan permainan yang dapat membina kemahiran STEM, membina kreativiti dan melibatkan kolaborasi pelajar dalam menyelesaikan masalah. Minecraft membantu para pendidik berinteraksi dengan pelajar di mana jua mereka berada dan memberi inspirasi kepada pembelajaran yang lebih interaktif melibatkan semua mata pelajaran.